
Pesawat perang Israel pada Isnin melancarkan beberapa serangan udara yang menyasarkan pinggir bandar selatan Beirut serta wilayah selatan Tyre dan Nabatieh.
ISTANBUL – Pesawat perang Israel pada Isnin melancarkan beberapa serangan udara yang menyasarkan pinggir bandar selatan Beirut serta wilayah selatan Tyre dan Nabatieh, di tengah-tengah ketegangan rentas sempadan yang semakin memuncak antara Israel dan Hizbullah, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.
Pesawat perang Israel melancarkan empat serangan udara yang menyasarkan pinggir bandar selatan Beirut, menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).
Kemudian, agensi itu melaporkan pesawat Israel melancarkan serangan udara kelima di pinggir bandar selatan, ketika kepulan asap kelihatan menjulang ke udara di kawasan berkenaan.
Belum dapat dipastikan sama ada pengeboman itu mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Terdahulu, tentera Israel dalam satu kenyataan mengumumkan pelancaran serangan baharu ke atas Lubnan dengan mendakwa ia menyasarkan lokasi Hizbullah.
Pesawat perang Israel turut menyasarkan bangunan Al-Qard Al-Hasan — sebuah institusi kewangan bukan berasaskan keuntungan yang mempunyai kaitan dengan Hizbullah — di bandar Toul, Nabatieh.
Pesawat Israel turut menyasarkan bangunan Al-Qard Al-Hasan di Qana, di daerah pesisir Tyre.
Pesawat perang itu juga mengebom kawasan sekitar Jnah di pinggir bandar selatan Beirut, lapor NNA tanpa memberikan butiran lanjut.
Pada awal Isnin, Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan pinggir bandar selatan Beirut dan selatan Lubnan, mengorbankan 31 orang serta mencederakan 149 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Serangan udara Israel berterusan sepanjang hari dengan menyasarkan kampung dan bandar di selatan Lubnan serta Beirut.
Hizbullah menyatakan pada awal Isnin bahawa ia menyasarkan satu tapak ketenteraan di utara Israel dengan bedilan roket dan dron secara sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Israel ke atas Lubnan serta serangan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran.
Peningkatan ketegangan itu berlaku ketika AS dan Israel meneruskan serangan berskala besar ke atas Iran sejak Sabtu, yang mengorbankan beberapa pemimpin tertinggi Iran termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei serta pegawai kanan tentera.
Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan balas dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset AS. – Bernama
Ringkasan AI
- Pesawat perang Israel melancarkan serangan udara di pinggir bandar selatan Beirut dan wilayah selatan Tyre dan Nabatieh
- Serangan itu dilakukan dalam konteks ketegangan yang semakin meningkat antara Israel dan Hizbullah
- Empat serangan udara di pinggir bandar selatan Beirut digambarkan oleh Agensi Berita Nasional Lubnan
- Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan lokasi Hizbullah
- Serangan melibatkan kematian 31 orang dan 149 cedera menurut Kementerian Kesihatan Lubnan



