Pesawat SWISS bawa 228 penumpang terbakar ketika berlepas

Pesawat SWISS bawa 228 penumpang terbakar ketika berlepas
Pesawat SWISS bawa 228 penumpang terbakar ketika berlepas

Enam penumpang pesawat milik syarikat penerbangan SWISS cedera selepas salah sebuah enjin kapal terbang berkenaan mengalami kegagalan dan terbakar ketika berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi.

NEW DELHI – Enam penumpang pesawat milik syarikat penerbangan SWISS cedera selepas salah sebuah enjin kapal terbang berkenaan mengalami kegagalan dan terbakar ketika berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, di sini, awal pagi tadi.

Insiden melibatkan pesawat Airbus A330 dengan nombor penerbangan LX147 itu berlaku jam 1.08 pagi waktu tempatan (3.38 pagi waktu Malaysia) ketika pesawat berkenaan sedang memulakan pecutan untuk berlepas ke Zurich, Switzerland.

Menurut kenyataan rasmi syarikat penerbangan itu, kru pesawat bertindak membatalkan proses berlepas serta-merta selepas mengesan masalah pada salah satu enjin sebelum memutuskan untuk melakukan pemindahan kecemasan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Seramai enam penumpang kini sedang menerima rawatan perubatan, manakala semua kru dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pesawat tersebut membawa 228 penumpang dan empat bayi,” menurut kenyataan SWISS.

Proses pemindahan dilakukan menggunakan gelongsor kecemasan di atas landasan, manakala sebilangan kecil penumpang yang tidak dapat menggunakan kemudahan itu dibantu keluar menggunakan tangga.

Rakaman video yang tular di media sosial turut memaparkan kepulan asap keluar dari bahagian enjin pesawat berkenaan semasa kejadian.

Syarikat penerbangan itu memaklumkan pasukan petugas khas telah ditubuhkan dan pakar teknikal dijadualkan berlepas ke New Delhi bagi menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca kegagalan enjin tersebut.

Buat masa ini, semua penumpang yang terjejas sedang dibantu oleh pasukan tempatan bagi urusan tempahan semula penerbangan atau penginapan hotel.

Kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital berhampiran dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. – Awani 

Scroll to Top