Pesawat tentera Colombia bawa 125 penumpang terhempas

Pesawat tentera Colombia bawa 125 penumpang terhempas
Pesawat tentera Colombia bawa 125 penumpang terhempas

Pesawat C-130 Hercules itu terhempas sejurus selepas berlepas di kawasan luar bandar berhampiran Puerto Leguízamo. Foto AFP

COLOMBIA – Sebuah pesawat Tentera Udara Colombia dilaporkan terhempas di bahagian selatan negara itu, mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang.

Komander Tentera Udara, Carlos Fernando Silva Rueda berkata, pesawat tersebut membawa 114 anggota tentera serta 11 kru. Beliau memaklumkan seramai 48 mangsa berjaya dikeluarkan dari bangkai pesawat dalam keadaan cedera dan kini dirawat di hospital.

Gabenor wilayah, Jhon Gabriel Molina kemudian mengesahkan lapan kematian, manakala lebih 80 lagi cedera dalam insiden yang berlaku pada Isnin.

Pesawat jenis C-130 Hercules buatan Amerika Syarikat itu dilaporkan terhempas berhampiran bandar Puerto Leguízamo di wilayah Putumayo.

Pasukan penyelamat yang dihantar ke lokasi dilihat menjalankan operasi mencari mangsa yang terselamat di kawasan nahas.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Menurut Menteri Pertahanan Colombia, Pedro Sánchez, pesawat tersebut mengalami “kemalangan tragis” ketika berlepas dari Puerto Leguízamo bagi membawa anggota keselamatan negara.

Beliau menyifatkan kejadian berhampiran sempadan Peru itu sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan buat negara.

Rakaman dan gambar yang dikongsi media tempatan menunjukkan kepulan asap tebal dari lokasi kejadian, selain kenderaan tentera menuju ke kawasan terbabit. Terdapat juga rakaman yang menunjukkan penduduk tempatan membantu membawa mangsa cedera ke hospital menggunakan motosikal.

Presiden Gustavo Petro menerusi hantaran di platform X menyifatkan insiden itu sebagai “kemalangan mengerikan yang tidak sepatutnya berlaku”.

Beliau turut menyalahkan masalah birokrasi yang didakwa melambatkan usaha memodenkan kelengkapan dan pesawat tentera.

“Saya tidak akan membenarkan sebarang kelewatan lagi, nyawa anak muda kita menjadi taruhan,” katanya.

Bulan lalu, sebuah lagi pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Bolivia turut terhempas di barat negara itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang.

Ringkasan AI

  • Pesawat Tentera Udara Colombia terhempas di selatan negara menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh
  • Pesawat tersebut membawa 114 anggota tentera serta 11 kru dengan 48 mangsa dikeluarkan dari bangkai pesawat dalam keadaan cedera
  • Kejadian berlaku berhampiran bandar Puerto Leguízamo di wilayah Putumayo dengan lebih 80 lagi cedera
  • Punca kejadian masih dalam siasatan dan disifatkan sebagai “kemalangan tragis” oleh Menteri Pertahanan Colombia
  • Presiden Gustavo Petro menyifatkan insiden itu sebagai kemalangan mengerikan dan menyalahkan masalah birokrasi yang melambatkan pemodenan kelengkapan tentera
Scroll to Top