Pesawat Turkiye terbabit operasi pemadaman kebakaran terhempas di Croatia

Pesawat Turkiye terbabit operasi pemadaman kebakaran terhempas di Croatia

Istanbul: Sebuah pesawat pemadam kebakaran Turkiye terhempas di Croatia pada Khamis, membunuh juruterbang, kata menteri perhutanan negara itu.

Ia dua hari selepas satu lagi nahas maut yang membabitkan pesawat tentera Turkiye yang mengorbankan 20 orang.

Kemalangan itu berlaku ketika dua pesawat pemadam kebakaran Turkiye dalam perjalanan pulang tetapi terputus hubungan dengan kawalan trafik udara, dengan satu berjaya mendarat di lapangan terbang Croatia, manakala yang satu lagi terhempas, tulis Menteri Perhutanan Ibrahim Yumakli di X.

“Bangkai pesawat pemadam kebakaran kami… ditemukan berhampiran bandar Senj di Croatia,” tulisnya, merujuk kepada sebuah bandar di pantai barat, mengucapkan takziah kepada keluarga “juruterbang kami yang terbunuh dalam kemalangan tragis ini”.

Terdahulu, dalam satu catatan di X, kementerian itu berkata, dua pesawat pemadam kebakaran AT802 berlepas dari Turkiye pada pagi Rabu untuk aktiviti penyelenggaraan di Zagreb tetapi cuaca buruk memaksa mereka bermalam di lapangan terbang Rijeka di barat.

Mereka berlepas ke lapangan terbang Zagreb pada 5.38 petang (1638 GMT) pada Khamis tetapi terpaksa berpatah balik, katanya.

“Semasa berpatah balik, salah satu pesawat kami mendarat di lapangan terbang Rijeka, tetapi hubungan radio dengan pesawat yang satu lagi terputus pada 6. 25 petang,” katanya.

Insiden itu berlaku hanya beberapa jam selepas Turkiye menghantar pulang mayat 20 anggota tentera yang terkorban pada Selasa, apabila sebuah pesawat kargo tenteranya terhempas di Georgia ketika ia dalam perjalanan pulang dari Azerbaijan.

Penyiasat Turkiye sedang menyiasat puncanya, menggantung semua penerbangan pesawat kargo C-130nya sebagai langkah berjaga-jaga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top