harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Seorang penunggang basikal disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai acara berbasikal di kilometer (km) 13, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (EKVE), di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kematian seorang lelaki di Hospital Ampang, di sini, pada 2 petang.
“Siasatan polis mendapati mangsa berusia 27 tahun menyertai acara berbasikal dengan jarak sejauh 50 km
“Semasa melalui KM 13 Lebuhraya EKVE, mangsa dipercayai sesak nafas lalu terjatuh ke atas jalan dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, rawatan awal diberikan kepada mangsa di lokasi sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
Katanya, bedah siasat sudah dijalankan ke atas mangsa pada 9.45 pagi hari ini di Hospital Ampang dan punca kematian masih menunggu laporan analisa makmal.
“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut ( SDR ) setakat ini, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan balai polis berhampiran.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Mohd Nasyran Ab Wahab di talian 0390212222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




