mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Anggota polis cedera ringan selepas berlaku pergelutan ketika cuba mengawal Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung di sekitar ibu kota, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, Sekretariat Rakyat Benci Rasuah mengadakan himpunan itu bermula jam 3.05 petang hingga 6.40 petang membabitkan seramai 100 orang terdiri daripada Gabungan Mahasiswa, yang bermula dari Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke Dataran Merdeka, Jalan Raja.
“Pada jam 4.30 petang, salah seorang peserta membakar suar hingga menyebabkan kepulan asap tebal yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan peserta, petugas keselamatan dan juga orang awam berdekatan.
“Berikutan tindakan terbabit, pihak polis mengambil tindakan pencegahan untuk memastikan asap dari suar itu tidak merebak.
“Semasa tindakan pencegahan diambil, berlaku sedikit pergelutan antara peserta perhimpunan dan petugas Op Aman sehingga menyebabkan kecederaan ringan kepada salah seorang anggota polis,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, pergelutan berjaya dileraikan dan susulan itu tiga laporan polis sudah dibuat.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 14 akta yang sama.
“Justeru, orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Menurutnya, sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd