zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) mengesahkan seorang daripada kumpulan 38 pesilat dan pegawainya yang dalam siri lawatan ke Asia Tengah baru-baru ini positif COVID-19.
Atlet yang identitinya tidak didedahkan itu kini berada di Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang sejak Jumaat lalu selepas tiba di tanah air pada 4 April lalu dari Kyrgyzstan.
Presiden PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata tempoh proses kuarantin wajib bagi 37 baki pesilat dan pegawainya terpaksa dilanjutkan sehingga menerima keputusan ujian saringan COVID-19 yang akan diketahui selewat-lewatnya, esok.
“Kesemua 38 atlet negatif ujian PCR sebelum berlepas pulang ke Malaysia. Ada kemungkinan dia (pesilat) dijangkiti dalam perjalanan pulang daripada Kyrgyzstan, mungkin kena di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai atau di Kyrgyzstan.
“Tapi saya rasa agak terkilan kerana dia (pesilat) tidak menunjukkan sebarang gejala, dia dalam keadaan yang baik, tidak demam dan ada selera makan,” katanya pada sidang media Persidangan Tahunan PESAKA di sini, hari ini.
PESAKA menghantar 38 yang terdiri dari pesilat dan pegawainya ke Asia Tengah bagi menguji peraturan baharu yang bakal digunakan pada Sukan SEA 2021.
© New Straits Times Press (M) Bhd




