Petani bimbang sawah tidak menjadi

Rompin: Banjir sejak Ahad lalu menyebabkan pesawah sekitar Kuala Rompin, di sini berdepan risiko sawah yang baru diusahakan tidak menjadi, jika banjir berpanjangan.
Pesawah Abdul Manaf Said, 43, dari Kampung Paya Laka berkata, nasib tidak menyebelahinya apabila banjir berlaku tiga hari selepas beliau menyemai benih padi di sawah miliknya, seluas 1.2 hektar.
“Arus deras banjir boleh menyebabkan benih yang disemai dibawa air dan jika banjir berpanjangan, ada risiko padi tidak tumbuh atau diserang siput gondang,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi pesawah Rashid Abdul Rahman, 45, dari Kampung Paya Sepayang, di sini berkata beliau membelanjakan RM4,500 untuk menyemai dan meracun sawah berkeluasan 1.214 hektar, kira-kira sebulan lalu.
Beliau yang mengusahakan tanaman berkenaan bersama bapanya Abdul Rahman Harun, 68, menyifatkan banjir kali ini sebagai antara yang terburuk yang pernah dihadapinya, kerana air naik mendadak dalam masa yang cepat.
“Risau juga arus deras boleh menyebabkan batang pokok turut dihanyutkan sehingga ke sawah, selain batas padi turut rosak. Sekarang ini saya berharap banjir tidak terlalu lama sehingga menenggelamkan keseluruhan pokok,” katanya.
Sementara itu, Anuar Mohamad, 45, berkata beliau hanya mampu berdoa supaya keadaan banjir ini tidak berlarutan supaya padinya menjadi kali ini, selepas padi yang diusahakan pada musim lalu tidak begitu menjadi.
“Memang tak boleh nak buat apa buat masa ini, anggap sahaja ini adalah cabaran dan risiko yang terpaksa kami hadapi, walaupun perit dan menjejaskan pendapatan kami musim kali ini,” katanya.
Tinjauan Bernama juga mendapati rata-rata sawah padi berkeluasan 280 hektar milik 122 pesawah di Paya Sepayang, ditenggelami air susulan hujan berpanjangan di negeri ini.

Sumber: Bernama

Malay News
National Desk

Scroll to Top