Trending
Petinju Muay Thai maut dirempuh trak pikap ketika berjoging, tercampak sejauh 40 meter di Gua Musang.
Niat hanya mahu beriadah berakhir tragedi apabila seorang petinju Muay Thai maut selepas dirempuh sebuah trak pikap ketika sedang joging bersama rakannya di Jalan Gua Musang–Sungai Terah, Kelantan petang Rabu.
Lapor Sinar Harian, mangsa, Mohamad Nabil Mohamad, 20 tahun, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak sejauh 40 meter akibat pelanggaran tersebut.
Pemandu trak hilang kawalan sebelum rempuh mangsa

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, pihaknya menerima laporan awam sekitar jam 6.30 petang mengenai kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.05 petang.
Siasatan awal mendapati trak pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan lalu melanggar mangsa.
Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 40 meter manakala trak pikap terbabit terbabas dan terbalik di bahu jalan.
Trak yang dipandu dilaporkan dalam perjalanan dari Sungai Terah menghala ke Gua Musang.
Mayat dibawa untuk bedah siasat

Rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu serta penumpang trak pikap itu dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 09-9121222 atau 019-9144855.
Pssttt! Sedih dan tragis apabila seorang anak muda yang aktif bersukan menemui ajal dalam situasi sebegini. Diharapkan kes ini dijadikan pengajaran agar semua pemandu lebih berhati-hati di jalan raya. Salam takziah buat keluarga mangsa.
Kredit: Sinar Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




