PETRA siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

PETRA siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

am@hmetro.com.my

Kuching: Kerajaan Persekutuan melalui agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa berada dalam keadaan siap siaga menghadapi Musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, musim monsun berkenaan bermula pada November 2025 dan dijangka berakhir pada Mac tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, tempoh berakhirnya monsun itu juga dijangka bertepatan dengan musim perayaan Aidilfitri.

Sehubungan itu, pelaksanaan perancangan awal, penyelarasan sumber serta kesiapsiagaan operasi terus menjadi fokus utama PETRA menerusi JPS.

“Langkah ini penting bagi memastikan pengurusan risiko banjir dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga 17 Mac lalu, sebanyak 745 kejadian banjir direkodkan di seluruh negara kecuali Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum, PETRA melaksanakan beberapa langkah strategik termasuk pemantauan operasi ramalan dan amaran banjir secara berterusan.

Katanya, pemantauan itu dilaksanakan 24 jam sehari sepanjang tahun melalui penggunaan model ramalan banjir di 36 lembangan sungai.

“Model ini berfungsi memberikan ramalan awal dan amaran banjir melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN),” katanya.

Tambah beliau, sistem berkenaan turut disokong oleh 1,798 stesen hidrologi telemetri yang merekodkan data hujan dan aras air sungai secara masa nyata.

Sehingga kini, sebanyak 64 hebahan ramalan awal banjir dan 39 hebahan amaran banjir dikeluarkan kepada orang awam.

Sementara itu, sebanyak 614 siren amaran banjir dipasang di lokasi strategik di seluruh negara selain 197 kamera pemantauan bagi membantu pemantauan situasi semasa.

“Sehingga 16 Mac 2026, sebanyak 675 pengaktifan siren amaran banjir direkodkan sebagai langkah penyampaian amaran awal kepada penduduk di kawasan berisiko,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa 3,682 lokasi hotspot banjir dikenal pasti di seluruh negara berdasarkan rekod kejadian berulang dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Antara negeri yang mencatatkan jumlah hotspot tertinggi ialah Pahang dengan 760 lokasi, diikuti oleh Kelantan sebanyak 618 lokasi dan Sabah sebanyak 517 lokasi,” katanya.

Katanya lagi, orang awam disaran sentiasa mengikuti maklumat ramalan dan amaran banjir melalui laman web Public Infobanjir serta aplikasi MyPublicInfoBanjir, manakala PETRA akan terus komited memastikan pengurusan bencana banjir dilaksanakan secara efisien, terselaras dan berkesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top