JAKARTA: Satu protes besar-besaran dijangka berlangsung di seluruh negara esok bagi membantah kenaikan harga bahan bakar bersubsidi yang diumumkan oleh Joko Widodo (Jokowi) kelmarin.
Semalam, ratusan pelajar universiti melakukan demonstrasi dengan membakar tayar dan ‘menawan’ lori tangki minyak milik Pertamina bagi menghalang kemaraan pasukan keselamatan.
Kumpulan pelajar itu berjanji untuk terus mengadakan tunjuk perasaan sehingga kerajaan menurunkan semula harga minyak kepada asal.
Selain itu, puluhan ribu buruh juga dilaporkan bakal melakukan protes menolak kenaikan harga petrol di seluruh Indonesia pada Selasa ini.
Presiden Gabungan Pekerja Indonesia (KSPI), Said Iqbal berkata, titik pusat demonstrasi Jakarta akan berlangsung di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
“DPR seharusnya berani membahaskan soal kenaikan harga petrol dan kesusahan yang dialami rakyat ketika ini,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.
Dalam pada itu, tunjuk perasaan besar-besaran juga akan diadakan di Bandung, Semarang, Surabaya, Yogyakarta, Banda Aceh, Medan, Batam, Padang, Pekanbaru, Bengkulu, Lampung, Banjarmasin, Samarinda, dan Pontianak.
“Jika protes itu tidak didengari oleh kerajaan, maka KSPI akan meneruskan tunjuk perasaan, bukan sahaja membantah kenaikan harga petrol, tetapi turut melibatkan beberapa isu lain seperti undang-undang omnibus dan tuntutan kenaikan gaji 2023,” ujar Iqbal.
Sementara itu, beberapa penduduk di Jakarta dan Surabaya menjelaskan, mereka tidak kisah jika harga petrol dinaikkan, yang mereka bimbangkan, kenaikan harga barangan lain, terutamanya makanan.
“Sekarang ini pun kami sudah rasa terbeban untuk membeli barangan keperluan, apatah lagi selepas harga petrol dinaikkan.
“Adakah kita terpaksa memilih, sama ada beli petrol atau makanan?,” soal mereka.
Sementara itu, Suruhanjaya Pengawasan Persaingan Perniagaan (KPPU) mengingatkan kepada para peniaga supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga jualan berikutan kenaikan harga bahan bakar.
Ketuanya, Ridho Pamungkas berkata, KPPU akan menyelia sistem perdagangan barangan dan perkhidmatan, terutamanya bagi jenis barangan yang pengeluarnya mengawal dalam pasaran.
Katanya, langkah itu penting bagi mengenal pasti kegiatan kartel, sekali gus mencegah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
“Selain itu, KPPU juga akan meneliti rantaian bekalan dan saluran pengedaran bagi membendung kadar inflasi.
“Kerajaan juga boleh mengalihkan subsidi atau insentif lain kepada pembekal makanan bagi mengelakkan kenaikan harga,” ujarnya.