Pagi yang sepatutnya bermula tenang dikejutkan dengan insiden letupan paip gas berhampiran Putra Heights, Puchong. Dalam kejadian sekitar jam 8.10 pagi itu, kebakaran berlaku pada saluran paip utama milik Petronas Gas Berhad (PGB) hingga mengundang kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) segera tampil memberi maklum balas dan mengesahkan kebakaran tersebut dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.
Saluran paip yang terjejas telah diasingkan dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan telah dimaklumkan.- Katanya.
Menurut Petronas, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dalam menguruskan situasi, termasuk memastikan siasatan terperinci dijalankan.
Kawasan di sekitar stesen minyak tidak terjejas. Kami akan memberikan maklumat tambahan dalam masa terdekat berikutan siasatan masih dijalankan.- Katanya lagi.
Tiga stesen minyak ditutup sementara…
Petronas dalam kenyataan berasingan turut memaklumkan bahawa tiga stesen minyak berdekatan iaitu PS Putra Heights, PS KM2 LDP dan PS Putra Bestari telah ditutup buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.
Pelanggan boleh menggunakan alternatif berikut untuk mengisi minyak kenderaan mereka – PS USJ 20, USJ 6 dan USJ 9.
Walaupun kejadian ini mengundang kekecohan, Petronas memberi jaminan bahawa tiada sebarang gangguan bekalan gas kepada negara berlaku.
Keselamatan komuniti sekitar, kelestarian alam sekitar dan bekalan gas kepada negara terus menjadi keutamaan kami.- Jelasnya.
Insiden ini kini dalam siasatan lanjut dan orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih serta menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.
#ApaKataOhmedia
Setiap kali berlaku insiden melibatkan saluran paip atau bahan mudah terbakar, keselamatan diri dan orang sekeliling perlu diberi keutamaan. Jika berada berdekatan lokasi kejadian, elakkan mendekati kawasan terbabit dan sentiasa patuhi arahan pihak berkuasa.
Semoga semua pihak terus berhati-hati dan insiden sebegini dapat dielakkan pada masa akan datang.
