Petronas kurangkan 5,000 pekerja, bukan kerana isu Petros – Fadillah

Petronas kurangkan 5,000 pekerja, bukan kerana isu Petros – Fadillah

am@hmetro.com.my

Kuching: Isu dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) tiada kaitan dengan langkah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mengurangkan pekerjanya, sebaliknya ia berpunca daripada cabaran global dalam industri minyak dan gas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Petronas perlu melakukan proses penstrukturan ketika penurunan harga minyak mentah dunia.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, beliau juga akan bertemu dengan pengurusan Petronas untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai proses penstrukturan semula itu.

“Petronas perlu melihat semula keseluruhan operasinya dan saya merancang untuk mengadakan pertemuan dengan mereka bagi mendapatkan taklimat mengenai perkara itu dan memastikan jumlah pemberhentian pekerja dapat dikurangkan, jika tidak dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ibadah korban Aidiladha di Masjid Darul Husni Warrahmah di Taman Hussien, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kira-kira 10 peratus daripada tenaga kerjanya atau lebih 5,000 orang akan dikurangkan susulan penstrukturan semula syarikat secara menyeluruh.

Beliau berkata, langkah itu terpaksa diambil bagi mengurangkan kos susulan kejatuhan harga minyak mentah dan semua pihak yang terlibat dengan penstrukturan semula itu akan dimaklumkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Tengku Muhammad Taufik juga berkata, kumpulan itu menyasarkan operasi yang lebih kecil dan tangkas walaupun harga minyak mencecah paras tertinggi AS$100 setong (AS$1 = RM4.23).

Menurutnya, berdasarkan keadaan sebelum ini apabila lapangan minyak mengecil, margin keuntungan sebelum cukai syarikat itu adalah pada kira-kira 35 hingga 40 peratus.

Anggaran peruntukan perbelanjaan Petronas adalah berdasarkan minyak Brent pada sekitar AS$75 (RM318.41) hingga AS$80 (RM338.20) setong.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata, kebanyakan daripada 5,000 kakitangan Petronas yang akan dikurangkan secara berperingkat sepanjang tahun depan adalah berstatus kontrak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top