KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menyumbang hampir RM1.6 trilion kepada ekonomi negara dalam bentuk dividen, royalti, cukai, bayaran tunai dan sumbangan kepada tabung amanah negara.
Ia sekali gus mengekalkan syarikat itu sebagai penyumbang tunggal terbesar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, sebagai pengawal selia sektor, syarikat membangunkan ekosistem huluan yang dinamik melalui Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) yang adil dan menarik serta pelbagai inisiatif lain.
Menurutnya, ia termasuk program pembangunan vendor dan pembiayaan vendor yang telah memudahkan akses pembiayaan berjumlah lebih RM2 bilion.
“Dalam bidang pendidikan dan tanggungjawab sosial, pelaburan sebanyak RM4.2 bilion telah dibuat menerusi Program Penajaan Pendidikan Petronas yang memanfaatkan lebih 40,000 rakyat Malaysia.
“Sepanjang tempoh 2020 hingga 2025, sumbangan impak sosial berjumlah RM4.5 bilion telah memberi manfaat kepada 16.7 juta rakyat Malaysia,” katanya ketika sidang akhbar pengumuman keputusan kewangan Petronas 2025, di sini semalam.
Petronas mengumumkan keuntungan selepas cukai (PAT) bernilai RM45.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, susut 18 peratus berbanding RM55.1 bilion yang direkodkan pada 2024.
Syarikat minyak dan gas nasional itu juga akan menyalurkan pembayaran dividen sebanyak RM20 bilion kepada kerajaan, selaras dengan jumlah yang diumumkan dalam bajet baru-baru ini.
Beliau berkata, syarikat bertanggungjawab terhadap lebih 10,700 kilometer saluran paip, 3,166 telaga, 405 pelantar luar pesisir, kapal terapung, terminal dan pangkalan bekalan yang menguruskan lebih 100 PSC aktif.
“Ini merangkumi keseluruhan rantaian daripada pengeluaran di pelantar luar pesisir hingga penghantaran kepada pelanggan di dalam dan luar negara.
“Ia juga termasuk isi rumah dan industri yang memerlukan bekalan tenaga 24 jam sehari,” ujarnya.
Beliau berkata, di peringkat antarabangsa, ketika syarikat terus berkembang ke pasaran dan negara baharu, kepakaran yang dibina akan dimanfaatkan menerusi kerjasama dengan kerajaan tempatan, rakan kongsi serta vendor bagi memenuhi keperluan utama semasa, iaitu keselamatan tenaga.
“Pada masa sama, komitmen terhadap sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 kekal teguh.
“Walaupun tumpuan global kini beralih kepada keselamatan tenaga dan pendekatan pragmatik dalam peralihan tenaga, Petronas kekal komited menguruskan pelepasan karbon dalam operasinya bagi memenuhi jangkaan pelbagai pihak di dalam dan luar negara,” ujarnya. – UTUSAN




