mdroji@bh.com.my
Kuching: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) akan menentukan keupayaan Sabah dan Sarawak untuk memainkan peranan lebih strategik dalam rantaian bekalan diesel domestik, termasuk membantu keperluan industri di Semenanjung sekiranya diperlukan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pengeluaran dan pengagihan petroleum termasuk diesel adalah di bawah bidang kuasa PETRONAS sebagai pengawal utama sektor berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, selain PETRONAS rantaian bekalan turut disokong syarikat lain seperti Shell dan Petron yang memainkan peranan dalam pasaran bahan api.
“Dari segi kapasiti pengawalan, ia terletak di bawah PETRONAS. Apa yang penting ketika ini ialah memastikan bekalan mencukupi dan mengikut jaminan mereka, bekalan adalah tersedia.
“Jadi kita kena berbincang dengan PETRONAS jika memerlukan Sarawak dan Sabah (membantu) mengekalkan rantaian diesel domestik ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Kampung Semariang Batu di Dewan KASBA, Semariang Batu, di sini, hari ini.
Fadillah berkata, kerajaan tetap mengambil pendekatan berhati-hati bagi menghadapi sebarang kemungkinan kekurangan bekalan dalam negara.
Katanya, sekiranya berlaku kekurangan, Malaysia mungkin perlu mendapatkan bekalan dari rantau Asia Pasifik atau pasaran lain yang pastinya melibatkan kos lebih tinggi.
“Ini kerana harga global boleh meningkat sehingga AS$110 setong atau lebih, ditambah pula dengan kos logistik untuk membawa masuk bekalan ke dalam negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Sarawak berada dalam kedudukan yang agak selesa dari segi tenaga hasil peralihan kepada tenaga hijau.
Beliau berkata, negeri itu kini mencapai kira-kira 60 peratus penjanaan tenaga melalui sumber hidro, selain disokong tenaga solar, gas dan arang batu.
Namun, beliau mengakui Sabah berdepan cabaran lebih besar kerana masih bergantung kepada diesel untuk penjanaan tenaga.
“Keadaan ini memberi tekanan apabila harga diesel meningkat dan bekalan berkurangan, sedangkan penjanaan tenaga penting untuk kegunaan domestik serta sektor industri,” katanya.
Menurutnya, di Semenanjung pula lebih banyak bergantung kepada gas dan arang batu dengan bekalan yang relatif stabil, namun kebergantungan tinggi terhadap gas juga memerlukan pengurusan rapi bagi memastikan kesinambungan tenaga negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




