PETRONAS terus pantau bekalan bahan api Malaysia

PETRONAS terus pantau bekalan bahan api Malaysia

Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) memanfaatkan rantaian nilai bersepadunya melalui anak-anak syarikat bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi untuk menyokong pegangan pasarannya yang mencecah hampir 50 peratus sehingga Mei depan.

Malah, baki keperluan pasaran selebihnya akan terus dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia bagi memastikan tiada gangguan di peringkat runcit atau industri.

PETRONAS dalam kenyataan hari ini berkata, ia kini memantau rapi status bekalan bahan api negara bagi memastikan kestabilan berterusan di seluruh Malaysia susulan krisis yang melanda rantau Asia Barat ketika ini.

Menurut PETRONAS, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, ia tidak terkecuali daripada menerima tempias krisis berkenaan memandangkan rantaian bekalan global yang saling berkaitan.

“Hampir 40 peratus daripada keperluan minyak mentah negara perlu melalui Selat Hormuz, yang kini menjadi titik panas konflik, sekali gus mendedahkan negara kepada risiko gangguan logistik.

“Sejak krisis ini meletus, harga minyak mentah dunia telah mencatatkan kenaikan mendadak hampir 40 peratus, sekali gus memberi tekanan kepada kos input industri minyak dan gas,” katanya.

PETRONAS berkata, kesan kenaikan itu turut melimpah kepada peningkatan kos penghantaran global, premium insurans serta logistik berkaitan penghantaran yang meningkat secara signifikan dalam tempoh singkat.

“Perkembangan negatif ini secara tidak langsung memberi impak kepada aspek sekuriti bekalan bahan api Malaysia yang bergantung kepada kestabilan laluan perdagangan antarabangsa.

“Bagi aspek produk, permintaan domestik ketika ini terus mengatasi tahap pengeluaran dalam negara, memaksa PETRONAS mengambil langkah proaktif bagi menampung kekurangan berkenaan,” katanya.

Harga runcit bahan api di Malaysia ketika ini dikawal oleh Kerajaan melalui Mekanisme Harga Automatik (APM) bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga pasaran dunia yang ekstrem.

Meskipun berdepan tekanan global, subsidi untuk RON95 dan diesel terus disediakan bagi mengurangkan beban rakyat, menjadikan harga bahan api di Malaysia antara yang terendah di rantau ini.

PETRONAS turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan bekalan secara haram, selain menggesa penggunaan tenaga yang lebih cekap bagi mendepani ketidaktentuan krisis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top