Petrosains, Tourism Malaysia meterai MoC angkat destinasi ikonik negara

Petrosains, Tourism Malaysia meterai MoC angkat destinasi ikonik negara

KUALA LUMPUR – Petrosains Sdn Bhd memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bersama Tourism Malaysia dalam usaha memperkukuh promosi pelancongan berteraskan pendidikan dan pengalaman interaktif sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Ezarisma Azni Mohamad berkata, kerjasama itu akan memperkasa promosi destinasi ikonik negara iaitu Petrosains, The Discovery Centre dan pengalaman melawat Menara Berkembar PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas).

Menurutnya, setakat Julai 2025, Petrosains menerima lebih sembilan juta pengunjung sejak dibuka pada 1999, manakala Menara Berkembar Petronas menarik lebih lapan juta pengunjung sejak 2002.

“MoC ini bukan sahaja memposisikan Petrosains sebagai pusat penemuan sains, malah sebagai rakan strategik aktif dalam membentuk naratif pelancongan negara.

“Kedua-dua pihak akan melaksanakan kempen promosi bersama, perkongsian aset kreatif dan aktiviti kolaboratif di pasaran utama dengan penekanan kepada tarikan moden, penemuan sains, pembelajaran dan berpengalaman,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis menandatangani MoC itu pada Jumaat.

Majlis yang berlangsung di Menara Berkembar Petronas itu disaksikan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy dan Pengerusi Lembaga Pengarah Petrosains, Nik Rosmanie Nik Mohamad.

Dalam majlis sama, Ezarisma Azni turut mengumumkan pelancaran video khas Merdeka yang dihasilkan sepenuhnya oleh Petrosains bagi mempromosikan Menara Berkembar Petronas menjelang VM2026.

“Ia mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan pengalaman bertaraf dunia kepada pengunjung dari Skybridge hingga ke setiap tingkat lawatan.

“Saya harap kerjasama ini akan membantu memposisikan Kuala Lumpur dan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang progresif, berinovasi dan mesra keluarga di mata dunia,” katanya.

Sementara itu, Manoharan memberitahu, pihaknya amat teruja untuk menjalin kerjasama strategik dengan Petrosains kerana ia membawa gabungan unik antara pendidikan dan pelancongan.

“Menggabungkan rangkaian antarabangsa Tourism Malaysia yang luas dan kepakaran Petrosains dalam bidang sains dan penceritaan, kami sedang mengubah mercu tanda ikonik kami.

“Menara Berkembar Petronas, menjadi hab pengalaman bertaraf dunia. Ini juga selaras dengan strategi kempen VM2026 kami untuk menawarkan kepada pengunjung bukan sekadar destinasi, tetapi pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan luar biasa,” jelasnya.

Scroll to Top