Petugas hospital didakwa mencederakan suami bekas isteri dengan parang

Petugas hospital didakwa mencederakan suami bekas isteri dengan parang

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Petugas hospital didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memukul seorang lelaki yang juga suami kepada bekas isterinya menggunakan parang di Kampung Pulau Raja pada 16 Julai lalu.

Tertuduh, Nik Mohd Helmi Raja Sulong, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada Mohamad Amirul Mohamad Yusuff, 31, menggunakan sebilah parang.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan Kampung Pulau Raja pada 3 pagi 16 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan dan tertuduh diwakili peguam, Fariduddin Mohd Noor.

Terdahulu, Siti Hajar tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan mangsa dalam kes berkenaan adalah suami kepada bekas isteri tertuduh.

Fariduddin bagaimanapun memohon jaminan ditawarkan memandangkan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan iaitu jantung yang memerlukan rawatan selain perlu menanggung lima orang anak.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dan menetapkan 26 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top