Petugas kesihatan rugi RM1.2 juta, terpedaya sindiket pelaburan saham

Petugas kesihatan rugi RM1.2 juta, terpedaya sindiket pelaburan saham

am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Seorang petugas sektor kesihatan, di sini berputih mata selepas mengalami kerugian lebih RM1.2 juta akibat diperdaya sindiket pelaburan saham dalam talian yang ditawarkan di laman sosial Facebook (FB).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, berkata terdahulu mangsa berusia 58 tahun memberitahu bahawa dia telah melihat iklan pelaburan saham itu kira-kira jam 10 pagi, 20 Disember lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian berminat untuk menyertai pakej pelaburan yang menjanjikan pulangan 500 hingga 800 peratus daripada wang modal yang dilaburkan.

“Ekoran itu, dia kemudian memasukkan wang ke dalam tujuh akaun bank berbeza keseluruhan berjumlah lebih RM1.2 juta tanpa menyedari dirinya telah diperdaya sindiket berkenaan.

“Mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis pada Jumaat lalu selepas tahu menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, siasatan kes itu akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Anuar menegaskan bahawa keputusan untuk menyertai mana-mana skim pelaburan khususnya dalam talian adalah sangat berisiko.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top