KAMPALA (UGANDA): Siasatan oleh pihak berkuasa Uganda mendedahkan seramai 800 penerima vaksin menerima suntikan air, bukannya vaksin COVID-19, menurut laporan Anadolu Agency.
Pengarah Unit Pemantauan Kesihatan Negara, Warren Naamara, berkata dua jururawat ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyelewengan itu, manakala seorang doktor kini dalam buruan polis selepas melarikan diri.
“Kami menghantar sejumlah botol vaksin COVID-19 yang disyaki palsu ke Direktorat Makmal Analisis Kerajaan dan Pihak Berkuasa Ubat-Ubatan Nasional (NDA) untuk dianalisis.
“NDA kemudiannya menyerahkan beberapa sampel vaksin COVID-19 disyaki palsu kepada Institut Serum India (SII) iaitu pengeluar vaksin dan imuno-biologi untuk dianalisis. SII mengesahkan bahawa kumpulan yang kami hantar untuk diuji mengandungi air, bukan vaksin,” katanya.
Beliau berkata SII berpendapat bahawa mereka “tidak pernah membekalkannya vaksin seumpama itu kepada Uganda. Ia juga mengesahkan bahawa perincian label produk dipalsukan.”
Makmal juga mengesahkan bahawa vaksin itu palsu.
Laporan itu mengatakan siasatan dibuat selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai suntikan vaksin COVID-19 palsu yang berlaku Mei lalu di hospital kerajaan.
Sebahagian daripada mereka yang terbabit ditahan dan sampel dihantar ke makmal untuk diuji.
800 kakitangan syarikat swasta menerima suntikan vaksin mengandungi air itu dengan syarikat membayar vaksinasi berkenaan.
Menurut Kementerian Kesihatan, Uganda merekodkan 90,656 kes dengan 2,392 kematian.
Jumlah penerima vaksin hanya 1,427,897 daripada populasi 44 juta. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




