PETALING JAYA: Seramai 70 petugas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikuti kursus Bahasa Mandarin bagi terus memperkasakan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.
Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, komitmen itu selari dengan Pelan Tindakan Pertama, Teras Strategik Kelima dalam Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memantapkan mekanisme tadbir urus dan pembangunan modal insan ke arah pencapaian matlamat strategik organisasi.
Katanya, kemampuan menguasai bahasa lain atau bahasa ketiga juga merupakan nilai tambah kepada individu berikutan penguasaan pelbagai bahasa berperanan penting dalam berkomunikasi untuk memastikan penyampaian maklumat dan perkhidmatan dengan lebih berkesan kepada pelanggan.
“Bagi merealisasikan usaha ini, seramai 70 orang petugas barisan hadapan PTPTN melibatkan Ibu Pejabat dan Pejabat PTPTN Negeri mengikuti Kursus Bahasa Mandarin dan Peperiksaan Sijil Hanyu Shuiping Kaoshi Tahap 1 (HSK1).
“Kursus ini merupakan salah satu kursus subject matter expert yang dirancang dalam Pelan Operasi Latihan (POL) yang komprehensif bagi tahun ini.
“Kursus Bahasa mandarin ini dilaksanakan secara dalam talian dan bersemuka bermula 30 Ogos lepas dan dijangka tamat 30 Disember depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Dasuki, pelaksanaan kursus bahasa ketiga itu diharap mampu menyumbang kepada pembangunan kompetensi dan profesionalisme pegawai dan kakitangan PTPTN ke arah budaya kerja yang cemerlang serta memudahkan urusan perkhidmatan harian.
Katanya, PTPTN sentiasa bersedia dan komited dalam menyampaikan perkhidmatan yang proaktif serta kreatif bagi menyelesaikan sebarang isu yang dihadapi dan memenuhi ekspektasi pelanggan.
“Ia juga bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum selain menerapkan budaya ilmu, menyuburkan budaya komunikasi berhemah dan membina akhlak mulia seluruh anggota keluarga serta masyarakat negara ini,” katanya. – UTUSAN