PFAM terima laporan tunggakan gaji Kelantan FC

PFAM terima laporan tunggakan gaji Kelantan FC

PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan sudah menerima laporan membabitkan tunggakan gaji pemain Kelantan FC.

Presiden PFAM, Safee Sali berkata, pihaknya akan berhubung dengan pengurusan Kelantan FC bagi mendapatkan gambaran sebenar sebelum sebarang tindakan diambil.

“Memang ada laporan pasal kes Kelantan FC… jadi saya harapkan pemain lain berani ke depan membuat laporan supaya boleh buat perbincangan selanjutnya.

“Bukan kita mahu cari kesalahan tetapi kita cuba selesaikan dengan cara baik untuk kebaikan kedua dua belah pihak di mana kita nak capai kata sepakat dan kata setuju.

“Sekarang ini kes tidak boleh didedahkan secara terperinci tetapi PFAM memang sedar mengenai masalah ini. Saya rasa proses selepas ini, kita akan adakan perbincangan untuk menyelesaikannya,” katanya.

Kemelut dalaman membabitkan Kelantan FC terus parah bermula daripada pendedahan bekas jurulatih mereka, Choi Moon Sik dan ejennya, Myeongho Jeong mengenai masalah kelab tersebut.

Ia berlarutan apabila terdapat beberapa pemain Kelantan FC yang mendedahkan masalah gaji yang belum dibayar sepenuhnya oleh pihak pengurusan.