PGA Briged Sarawak bangunkan sistem pengesan kepala air

PGA Briged Sarawak bangunkan sistem pengesan kepala air

mdroji@bh.com.my

Kuching: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya membangunkan sistem sensor pengesan kehadiran kepala air yang mampu mengesan fenomena itu dari jarak sehingga lima kilometer.

Komander PGA Briged Sarawak, Senior Asisten Komisioner Lim Bak Phai berkata, sistem berkenaan dibangunkan sepenuhnya oleh anggota PGA Briged Sarawak meliputi aspek pengekodan, algoritma pengesanan serta atur cara sensor, sekali gus menjadikannya inovasi tempatan berimpak tinggi dalam pengurusan bencana.

Beliau berkata, fenomena kepala air lazimnya berlaku secara tiba-tiba susulan hujan lebat di kawasan hulu sungai.

“Kebiasaannya, amaran hanya dapat dikeluarkan selepas arus deras melanda kawasan hilir, ketika mangsa mungkin sudah dihanyutkan atau kerosakan harta benda sudah berlaku.

“Keadaan itu boleh mengakibatkan kehilangan nyawa, mangsa dihanyutkan jauh dari lokasi asal, kerosakan harta benda serta meningkatkan risiko kepada pengunjung kawasan riadah dan tapak perkhemahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata, pendekatan konvensional yang bersifat reaktif sering kali tidak mencukupi bagi mengelakkan tragedi.

Beliau berkata, sensor yang dibangunkan itu berupaya mengesan perubahan mendadak paras air, tekanan serta gelombang arus dari jarak sehingga lima kilometer sebelum kepala air tiba di kawasan berisiko seperti perkampungan berhampiran sungai, pusat perkelahan, kawasan riadah dan tapak perkhemahan.

“Melalui pengesanan awal, amaran dapat dikeluarkan lebih cepat bagi membolehkan penduduk dan pengunjung menyelamatkan diri sebelum kepala air sampai ke lokasi terjejas.

“Keunikan sistem itu turut merangkumi keupayaan mengesan serta mengira kelajuan pergerakan kepala air dan menerusi analisis data perubahan paras air dan tekanan pada beberapa titik sensor, sistem berkenaan mampu menganggarkan kelajuan arus deras, meramal tempoh ketibaan ke kawasan tertentu serta menentukan tahap risiko berdasarkan kekuatan dan kelajuan aliran,” katanya.

Menurutnya, maklumat itu amat penting kerana kepala air yang bergerak pantas memberikan tempoh tindak balas yang lebih singkat dan dengan data kelajuan yang tepat, pihak berkuasa dapat mengeluarkan amaran lebih spesifik mengikut zon risiko.

Selain itu, sensor berkenaan direka untuk beroperasi dalam pelbagai keadaan muka bumi termasuk kawasan berbukit, laluan sungai di pedalaman, hutan tebal serta penempatan terpencil.

“Sistem itu juga tidak bergantung sepenuhnya kepada capaian internet, sebaliknya mampu berfungsi secara autonomi menggunakan kaedah komunikasi alternatif dan penghantaran isyarat jarak jauh, sesuai untuk kawasan tanpa liputan rangkaian terutama di Sarawak yang mempunyai jaringan sungai luas dan banyak kawasan pedalaman.

“Pembangunan sensor itu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan risiko kehilangan nyawa, meminimumkan kerosakan harta benda serta meningkatkan keberkesanan sistem amaran awal,” katanya.

Inisiatif PGA Briged Sarawak itu membuktikan kepakaran tempatan khusus dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) berupaya menghasilkan teknologi praktikal dan efektif yang berpotensi menjadi penanda aras baharu sistem amaran awal bencana negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top