Ipoh: Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta berjaya menggagalkan cubaan menyeleweng 85,580 kilogram minyak sawit mentah bernilai RM1.1 juta dalam Op Taring Palma di daerah Kerian, Selasa lalu.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, empat lelaki tempatan berusia 26 hingga 44 tahun turut ditahan dalam operasi yang dijalankan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Utara, Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
“Pasukan operasi mengesan sebuah lori membawa muatan mencurigakan dan mengekori sehingga Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah arah utara. Proses pemindahan minyak sawit mentah dilakukan secara haram dari dua lori tangki ke sebuah lori ‘bonded’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati 15 tong biru berkapasiti 200 liter setiap satu di dalam lori ‘bonded’, bersama beberapa peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak sawit mentah itu.
Shahrum berkata ,JSPT Bukit Aman turut mengeluarkan satu saman terhadap suspek atas kesalahan trafik di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada MPOB Wilayah Utara bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




