am@hmetro.com.my
Padang Besar: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara mematahkan cubaan menyeludup kaki ayam sejuk beku ke negara jiran bernilai lebih RM1.4 juta dalam satu operasi di tepi jalan berhampiran Kompleks Bebas Cukai Jalan Baru Sadao di sini, semalam.
Menerusi operasi bersepadu Op Taring Wawasan Kedah/Perlis yang dijalankan oleh anggota PGA Cawangan Risik Batalion 18 Pengkalan Hulu itu, mereka turut merampas sebuah lori kontena jenis Volvo dan dua kenderaan pikap berpendaftaran Thailand.
Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, pihaknya mendapati terdapat 2,646 karton kaki ayam sejuk beku disimpan dalam kenderaan terbabit dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM1,417,520.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun yang juga pemandu lori dari Penaga, Pulau Pinang ditahan dalam operasi berkenaan.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan saki-baki sindiket yang masih aktif menjalankan kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan Padang Besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kaki ayam sejuk beku ini dipercayai tidak mempunyai kelulusan sijil kesihatan veterinar di bawah Seksyen 13 Akta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sebagai syarat untuk dieksport ke negara jiran.
“Semua rampasan dan tangkapan diserahkan kepada MAQIS Negeri Perlis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd