PGA membongkarkan stor simpan minuman keras RM1 juta

PGA membongkarkan stor simpan minuman keras RM1 juta

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan Gerakan Am (PGA) membongkarkan stor sementara bagi menempatkan minuman keras pelbagai jenis tidak bercukai di Shah Alam, Selangor dengan penahanan tiga individu membabitkan rampasan lebih RM1 juta semalam.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Pasukan Gerakan Am) Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata,satu Operasi Bersepadu Intra/Inter Agensi dijalankan di sebuah premis yang disyaki dijadikan stor sementara bagi menempatkan minuman keras bir pelbagai jenis tidak bercukai di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, operasi ini diketuai oleh Cawangan Pengoperasian Ibu Pejabat PGA Bukit Aman bersama Risik Briged Tengah PGA Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dibantu oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Polis (IPD) Shah Alam dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Menerusi operasi itu, tiga orang terdiri dua warga tempatan berusia 38 dan 63 tahun serta seorang warga Myanmar berusia 29 tahun ditahan.

“Turut dirampas sebuah lori 10 tan, anak kunci, 57,816tin arak dan empat telefon bimbit dengan nilai rampasan RM 1,232,966.72,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Undang-Undang Kecil 1974.

“MBSA mengeluarkan notis kompaun ke atas gudang berkenaan kerana kesalahan mengikut Akta Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (MBSA) 2007 berjumlah RM 2,000,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top