nfazlina@nstp.com.my
Rantau Panjang: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 3,300 anak pokok pelbagai jenis yang disyaki mempunyai serangga perosak di Kampung Gual Tinggi, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian 4.45 petang itu, anak pokok itu dirampas menerusi Op Taring oleh Batalion 9 PGA, selepas mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan terhadap lori yang dipandu seorang lelaki tempatan mendapati kenderaan itu membawa muatan anak pokok tanpa dokumen sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati 3,300 anak pokok pelbagai jenis yang disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit.
“Pemandu lori berusia 35 tahun mendakwa mengambil anak pokok dari sebuah nurseri di Rantau Panjang, dan mahu menghantarnya ke Langkawi, Kedah.
“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM265,000 termasuk lori,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu, pemandu lori berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.
© New Straits Times Press (M) Bhd




