nfazlina@nstp.com.my
Gua Musang: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih 500 batang balak dan peralatan serta jentera memproses kayu membabitkan nilai RM1.5 juta menerusi serbuan di Gua Musang dan Kuala Krai, kelmarin.
Hasil serbuan Op Bersepadu Khazanah yang dilakukan Batalion 8 PGA itu turut menahan empat lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga kilang dan penghantar kayu balak.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan pertama dilakukan di Palong, Gua Musang, jam 4 petang.
Katanya, sebaik pihaknya tiba di lokasi, mereka mendapati tiga lelaki sedang mengumpul hasil hutan yang sudah diproses.
“Hasil pemeriksaan mendapati lebih 500 batang balak dan kayu yang sudah dipotong, dan kesemua suspek gagal menunjukkan sebarang permit atau lesen daripada Jabatan Perhutanan.
“Kesemua suspek berusia 28 hingga 52 tahun dipercayai menjadi penghantar hasil hutan untuk dijual ke pasaran tempatan.
“Anggaran nilai rampasan bernilai RM1 juta termasuk mesin jentera memproses kayu dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, rampasan kedua pada 10 malam di sebuah kilang kayu di Kampung Lela Jasa yang mendapati kilang terbabit beroperasi tanpa lesen daripada Jabatan Perhutanan.
Susulan itu katanya, polis merampas semua mesin dan jentera memproses kayu termasuk mesin Bound Saw dan mesin ketam kayu Tokiwa.
“Suspek lelaki 52 tahun dipercayai penjaga kilang ditahan bagi membantu siasatan. Anggaran rampasan bernilai RM500,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 (2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985.
“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan memproses kayu secara haram daripada terus berleluasa di sempadan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




