PGA rampas 56.53 tan beras putih tanpa dokumen

PGA rampas 56.53 tan beras putih tanpa dokumen

am@hmetro.com.my

Gurun: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki tempatan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen ketika membawa muatan 56.53 tan beras putih dalam sebuah treler di sini, hari ini.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, bertindak di atas maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risik Ibu Pejabat Risik Briged Utara, PGA, Ulu Kinta berjaya mengesan dan menjalankan satu operasi penguatkuasaan kawal selia padi dan beras di lokasi.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menahan dua lelaki terbabit bersama barangan rampasan terbabit.

“Tangkapan dan rampasan dilakukan selepas pemandu dan kelindan treler berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen yang berkaitan muatan beras yang dibawa.

“Berikutan itu kami merampas beras putih berkenaan yang dianggarkan bernilai RM226,120 serta treler terbabit yang bernilai RM400,000.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM626,120,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahrum berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta 522- Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994.

“Selain daripada itu, tiga keping saman kepada turut dikeluarkan terhadap pemandu treler terbabit atas kesalahan trafik mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Hasil saringan awal air kencing terhadap pemandu dan kelindan turut dilakukan dan didapati negatif,” katanya.

Katanya, muatan beras dan treler yang dirampas itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah.

Bagaimanapun, katanya, pemandu dan kelindan lori ditahan untuk siasatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top