PASIR MAS: Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sarang burung layang-layang dan peralatan serta cecair vape, dianggarkan bernilai RM410,000 dalam dua serbuan di Kampung Limau Purut dekat Lubok Setol, di sini, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof, berkata dalam kejadian pertama di pangkalan haram Limau Purut, sepasukan anggota merampas 23.5 kilogram sarang burung layang-layang bernilai RM188,000.
Beliau berkata, anggotanya yang sedang membuat rondaan terserempak tiga lelaki sedang memunggah kotak menggunakan tiga motosikal.
“Sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, tiga lelaki itu kemudian memecut motosikal dan membuang semua kotak terbabit di sebuah kedai bunga, sebelum melarikan diri.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kotak itu berisi sarang burung layang-layang disyaki diseludup masuk dari Thailand, kerana ada permintaan tinggi di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nor Azizan berkata, semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan ke sebuah rumah kosong di kampung sama, sebanyak 1,350 botol cecair vape pelbagai perisa dan 1,450 unit peralatan menghisap vape bernilai RM222,000 turut dirampas.
Nor Azizan berkata, semua barangan itu sengaja disembunyikan di sebuah rumah tidak bernombor dan tidak berpenghuni bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kita percaya rumah itu dijadikan transit sementara sebelum barangan itu diseludup ke negara jiran, melalui pangkalan haram berdekatan.
“Semua barangan rampasan itu akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952,” katanya.
– BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd



