PGA rekodkan RM794 juta nilai rampasan di Pantai Timur dalam tempoh sembilan bulan

PGA rekodkan RM794 juta nilai rampasan di Pantai Timur dalam tempoh sembilan bulan

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu : Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan nilai rampasan sebanyak lebih RM794 juta di tiga negeri Pantai Timur sepanjang Januari sehingga September tahun ini.

Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, daripada jumlah berkenaan, nilai rampasan membabitkan Op Hazard mencatatkan paling tinggi iaitu RM410 juta terutama di Pahang.

Katanya, daripada jumlah rampasan itu, sebanyak 1,825 tangkapan dilakukan membabitkan 1,753 kes.

“Menerusi jumlah keseluruhan rampasan itu meliputi dua operasi iaitu Op Taring Wawasan di kawasan sempadan Kelantan dan Op Hazard di tiga negeri.

“Malah menerusi Op Taring Wawasan di Kelantan, kita merekodkan nilai rampasan sebanyak RM274 juta membabitkan 1,520 kes selain seramai 1,388 individu ditangkap.

“Barangan paling tinggi yang dirampas membabitkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5 dan Akta Kastam serta barangan kawalan,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, di sini, hari ini.

Jelasnya, apa sahaja barangan yang dibawa masuk atau diseludup keluar yang menyalahi undang-undang, pihaknya akan membuat rampasan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top