am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah mematahkan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan merampas pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM5 juta sepanjang tempoh 18 hingga 31 Januari lalu.
Selain rampasan, serbuan yang dijalankan di sekitar kawasan pantai barat dan timur Sabah turut menahan 28 individu yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan.
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, kejayaan adalah hasil risikan Unit Risikan Brigad Sabah PGA berdasarkan maklumat orang awam.
“Serbuan dalam tempoh dua minggu itu menahan 15 lelaki tempatan, 11 lelaki dan satu wanita Filipina serta seorang lelaki Indonesia.
“Serbuan mematahkan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan pelbagai jenis mercun, ayam sejuk beku, daging sejuk beku, pelbagai jenis rokok/minuman keras, senjata api buatan sendiri, air ketum dan penyeludupan minyak diesel,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, PGA akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab menjaga serta mengawal keselamatan negara dan ketenteraman awam secara profesional.
“Orang awam diharap terus menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan di sekitar kawasan mereka bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen jenayah rentas sempadan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




