PGA Sarawak rampas lebih 342,000 liter diesel bersubsidi

PGA Sarawak rampas lebih 342,000 liter diesel bersubsidi

Kuching: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merekodkan rampasan diesel bersubsidi lebih 342,000 liter bernilai kira-kira RM1.8 juta menerusi Ops Tiris yang dilaksanakan di beberapa lokasi di negeri berkenaan sejak 16 Mac hingga semalam.

Komander PGA Briged Sarawak Senior Asisten Komisioner Lim Bak Phai berkata, pelbagai aset dan peralatan termasuk lori tangki, jentera berat dan tangki skid turut dirampas dengan anggaran nilai hampir RM17.5 juta.

“Hasil operasi itu, PGA Briged Sarawak berjaya merekodkan 58 kes dengan 69 tangkapan. Antara kejayaan utama operasi, termasuk rampasan sebuah bot tunda di Bintulu yang digunakan untuk menyimpan 20,000 liter minyak diesel tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata, operasi turut merekodkan rampasan lebih lima tan minyak masak bersubsidi bernilai hampir RM40,000 serta lebih tujuh tan gula kasar bernilai lebih RM31,000 dengan nilai keseluruhan termasuk rampasan kenderaan hampir RM950,000.

Beliau berkata, operasi yang dilaksanakan secara berterusan itu juga berjaya mengesan pelbagai modus operandi sindiket termasuk penyimpanan, pemindahan dan pengedaran diesel tanpa permit yang dipercayai melibatkan rangkaian penyelewengan barang kawalan di negeri ini.

Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top