PASIR MAS: Taktik seorang lelaki menjadikan dua buah rumah sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran rokok tidak bercukai sejak dua tahun lalu terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Sabtu lalu.
Serbuan di dua lokasi berasingan di Kampung Kerasak Kedondong dan Jalan Tahfiz, Kampung Apa-Apa di sini memba kepada rampasan 22,560 batang rokok pelbagai jenis bernilai RM40,698.
Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan pertama pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 50 tahun di sebuah Kampung Kerasak Kedondong di sini.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah menemukan sebungkus plastik merah mengandungi rokok tidak bercukai di bahagian pintu masuk ruang tamu.
“Soal siasat awal, suspek kemudian membawa anggota bertugas ke lokasi kedua di Jalan Tahfiz, Kampung Apa-Apa dan pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan rokok seludup pelbagai jenama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, suspek dipercayai menjalankan aktiviti penjualan rokok tidak bercukai sejak tahun 2024.
Katanya, bekalan rokok dipercayai dihantar mengikut permintaan sebelum dijual kepada peruncit sekitar Pasir Mas dan Tumpat.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN




