PGA serbu kilang proses plastik tanpa kelulusan, rampasan bernilai lebih RM5 juta

PGA serbu kilang proses plastik tanpa kelulusan, rampasan bernilai lebih RM5 juta

Ipoh: Polis merampas pelbagai kemudahan dan mesin yang digunakan untuk memproses plastik buangan tanpa kelulusan dengan nilai keseluruhan RM5.012 juta di sebuah premis di Sungkai pada 25 Februari lepas.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Balveer Singh berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Daerah Batang Padang, Tapah serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah telah melaksanakan Ops Taring Alpha 5 kira-kira 10 pagi.

“Polis berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 30-an dipercayai kerani dan 11 lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 23 hingga 55 tahun dipercayai pekerja di premis itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu telah memasang dan mengendalikan beberapa kemudahan pemprosesan plastik tanpa notifikasi dan kelulusan daripada pihak JAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Balveer berkata siasatan awal mendapati suspek menjadikan premis yang beroperasi lebih enam tahun itu sebagai lokasi pemprosesan material plastik yang diperoleh di sekitar Lembah Klang tanpa kelulusan pihak JAS.

Beliau berkata 11 unit telefon bimbit pelbagai jenama turut dirampas dalam serbuan berkenaan.

“Kes diserahkan kepada JAS Perak dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 38 (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 manakala kesemua warga Bangladesh diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah untuk siasatan di bawah Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top