am@hmetro.com.my
Bukit Kayu Hitam: Tiga lelaki warga India ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) disyaki cuba menyeludup masuk 19,431 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM582,930 ke negara ini, semalam.
Mereka yang membawa beg galas dan beg beroda ditahan pasukan Kompeni A Batalion 2, PGA Kulim ketika berjalan dari arah Thailand, berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, semua suspek berusia 29 hingga 53 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.
“Hasil soal siasat, mereka disyaki bertindak sebagai kurier yang membawa bekalan dari sindiket di negara jiran untuk dihantar kepada pengedar di Kuala Lumpur.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan dadah di kawasan Bukit Kayu Hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrum berkata, rampasan dadah yang dibungkus dalam makanan ringan dan wang tunai 600 Thai baht (kira-kira RM80) diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Nakotik IPD Kubang Pasu untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan dan pemantauan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di sempadan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd