Kota Bharu: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan cubaan seludup 16,000 kilogram (kg) karkas babi selepas menahan dua buah lori di Jalan Besar Kampung Apal, Lebuhraya Kelantan-Terengganu dekat sini, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata hasil pemeriksaan mendapati sejumlah karkas babi berada di belakang lori dan pemandu gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berkaitan barangan berkenaan yang disyaki diseludup dari Thailand.
“Dua pemandu dan seorang kelindan lori warganegara India berumur lingkungan 23 hingga 46 tahun yang menjadi penghantar karkas babi tersebut ke pasaran tempatan turut ditahan.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM1.04 juta termasuk lori dan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Terengganu untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd