PGA tumpas kilang proses kuarza haram, rampas lebih RM5.1 juta

PGA tumpas kilang proses kuarza haram, rampas lebih RM5.1 juta

Ipoh: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kira-kira 1,000 tan mineral kuarza mentah, 660 beg jumbo kuarza siap diproses dan pelbagai jentera pemprosesan dianggarkan bernilai RM5.16 juta dalam satu operasi membanteras kegiatan memproses bahan mineral secara haram di Sungai Siput, semalam.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata Operasi Bersepadu Khazanah itu diadakan bersama Cawangan Risik Batalion 3, Briged Utara PGA dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput.

Beliau berkata pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 40-an yang dipercayai bertindak sebagai pengurus tapak serta empat lelaki warga Bangladesh berumur antara 35 hingga 43 tahun.

“Siasatan awal mendapati kilang haram itu dipercayai telah beroperasi sejak kira-kira setahun lepas dan semua tangkapan serta rampasan dibuat di lokasi kilang tersebut.

“Hasil pemeriksaan di lokasi turut menemukan sejumlah besar tanah putih atau kuarza yang sedang diproses selain pelbagai mesin dan jentera yang digunakan bagi tujuan pemprosesan mineral berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Balveer Singh berkata modus operandi kegiatan itu adalah dengan membeli tanah putih campuran dari kawasan kuari sebelum diproses melalui kaedah menapis, mencuci, memampatkan serta mengasingkan mineral bagi meningkatkan kualitinya.

“Mineral kuarza yang telah mencapai gred tinggi kemudian dijual pada harga lebih tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kes disiasat oleh JMG Perak di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Perlesenan) 2016 serta Akta Pembangunan Mineral 1994 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata lelaki tempatan yang bertindak sebagai pengurus tapak turut disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pendatang tanpa izin.

“Jika disabit kesalahan, denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja.

“Empat pekerja warga asing berkenaan pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top