PGM sumbang RM20,000 kepada Pusat Pengajian Al-Quran

PGM sumbang RM20,000 kepada Pusat Pengajian Al-Quran

SUBANG: Di sebalik penganjuran kejohanan golf berprestij Siri Jelajah Toyota 2024, pihak Profesional Golf Malaysia (PGM) tidak pernah melupakan sumbangan amal kepada badan-badan kebajikan dan golongan yang memerlukan.

Pada kejohanan pro-am Golf Amal Trofi Tun Ahmad Sarji bersempena pembuka tirai Siri Jelajah Toyota 2024 yang berlangsung di Saujana Golf & Country Club (SGCC) baru-baru ini, pihak PGM menyumbangkan sebanyak RM20,000 kepada Pusat Pengajian Al-Quran.

Sumbangan itu disampaikan oleh anak Pengasas PGM, Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Ariff Tuah Ahmad Sarji kepada Pengerusi Pusat Pengajian Al-Quran, Datuk Sulaiman Osman semasa majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohanan pro-am.

Seramai 30 pemain golf profesional dan 90 pemain amatur terdiri daripada pegawai kejohanan, penaja dan wakil-wakil media menyertai kejohanan pro-am kali ini yang berlangsung sebelah pagi di lapangan Bunga Raya SGCC.

YIP Jian Lee (kanan) menyampaikan hadiah juara kepada (dari kanan) pro Nazrin Zain, Mahathir Mohamad Sidi, Aziz Hassan dan Imran Mohamad Nor.

Pemain profesional, Nazrin Zain yang bergandingan dengan Imran Mohamad Nor (Utusan Malaysia), Mahathir Mohamad Sidi (Media Prima) dan Aziz Hassan muncul juara berpasukan dengan 134 pukulan keseluruhan. Setiap amatur membawa pulang putter Taylor Made Spider manakala pemain profesional membawa pulang wang tunai RM1,000.

Tempat kedua milik pemain profesional Rizal Amin bersama Datuk Mohd. Afrizan, Feisal Ali dan Mohd. Adam dari Yaztech Sdn. Bhd. dengan skor 138 pukulan. Tiga daripada mereka memenangi beg troli Taylor Made manakala Rizal memperoleh RM750.

Pemain profesional Ryan Fernandez bersama Mohd. Paudzai dari SGCC, Nicholas Wong dan I J Lau menduduki tempat ketiga dengan 139 pukulan. Mereka membawa pulang beg pro Taylor Made manakala Ryan mendapat RM500.

Hadiah kepada para disampaikan oleh Pengarah PGM, Yip Jian Lee.

Kejohanan pro-am Golf Amal Trofi Tun Ahmad Sarji kali ini mendapat penajaan dari MST Golf, Dunlop Srixon dan 18 syarikat korporat. – UTUSAN