KULAI: Pakatan Harapan (PH) Johor bersetuju melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng selaku Ketua Pengimbang di negeri Johor.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, perkara itu telah dipersetujui ketiga-tiga parti komponen PH iaitu DAP, PKR dan juga Parti Amanah Negara (Amanah).
“DAP telah mencadangkan saudara Andrew Chen Kah Eng untuk dicalonkan sebagai ketua pembangkang atau ketua pengimbang di Johor.
“Cadangan ini telah diterima oleh rakan-rakan dari PKR serta Amanah. Terima kasih,” katanya ketika ditemui pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Hutan Bandar Putra, di sini hari ini.
Kah Eng turut memegang jawatan berkenaan pada tempoh penggal pentadbiran kerajaan negeri terdahulu sejak 2022 hingga 2026 sebelum Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang diadakan pada 11 Julai lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya menubuhkan kerajaan negeri baharu selepas memenangi 48 kerusi, manakala PH menang lapan kerusi.
Daripada jumlah berkenaan, DAP menang enam kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing memenangi satu kerusi.-UTUSAN
