Kota Kinabalu: Pakatan Harapan (PH) menyifatkan gabungan itu kini berada di landasan terbaik untuk menjadi rakan strategik membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Justeru itu, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata manifesto PH Sabah yang dibentang hari ini, akan memandu wakil rakyatnya merangka dasar terbaik untuk rakyat, jika dipilih sebagai anggota pentadbiran baharu Sabah.
“Ini adalah komitmen PH Sabah, maknanya kita mahu menjadi sebahagian kerajaan negeri. Tugas wakil rakyat kita yang menang nanti daripada PH ini akan membawa agenda dalam sidang Dewan.
“Bila mereka berbahas, mereka akan menggunakan data (manifesto yang dibentang) untuk diperjuangkan. Dengan pengalaman yang ada, ada beberapa orang nanti akan menganggotai Kabinet, sebagai anggota pentadbiran negeri.
“Ini adalah asas untuk mereka menjadikan komitmen ini (manifesto) sebagai dasar dalam kerajaan negeri,” katanya pada sidang media pada majlis pelancaran komitmen PH Sabah sempena PRN Sabah di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu.
Sementara itu, Jin Zhe menjangkakan, keputusan PRN Sabah pada Sabtu ini, bakal menyaksikan tiada mana-mana parti mampu membentuk kerajaan sendiri, memaksa rundingan perlu diadakan dengan gabungan dan parti politik lain.
Dalam situasi begitu, katanya, parti yang memenangi kerusi perlu berunding sesama mereka untuk membentuk kerajaan campuran.
“Kita perlu berunding atas dasar dan prinsip matlamat tadbir urus bersama serta komitmen dasar yang memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar pembahagian kuasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




