KUALA TERENGGANU: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengumumkan pembukaan 300 juta unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang tersedia untuk dilanggan oleh pelabur bumiputera di seluruh negara khususnya di wilayah Pantai Timur, mulai semalam.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, pihaknya mendapati pemintaan yang sangat tinggi khususnya di Pantai Timur.
“Justeru, 300 juta unit AHB adalah peluang terbaik bagi pelabur individu bumiputera untuk menjadikan AHB sebagai instrumen utama pelaburan dan simpanan mereka dengan risiko yang rendah serta disokong oleh aset hartanah sebenar.
“Malah bagi memudahkan pelabur, kita menyediakan aplikasi digital iaitu MyAHB yang boleh diakses pelabur,”katanya dalam sidang akhbar sempena Perasmian Mayang Mall oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini.
Yang hasir sama ,lKetua Pegawai Pelaburan PHB, Norani Mustapha dan Ketua Syarikat PHB Property Ventures Berhad (PHBPV), Fauziah Mohd Azali.
Kata beliau, PHB komited untuk terus memperkukuh kerjasama erat bersama Kerajaan Negeri Terengganu bukan hanya melalui pelaburan hartanah malah dalam melaksanakan mandat sosial PHB kepada masyarakat bumiputera di negeri ini untuk menikmati pemilikan benefisial hartanah menerusi penyertaan mereka dalam AHB.
“Kami berharap masyarakat di Terengganu dan wilayah Pantai Timur dapat merebut peluang ini untuk melabur di dalam dana AHB dan pada masa yang sama menyokong pertumbuhan Mayang Mall sebagai sebahagian daripada pembangunan ekonomi negeri ini,” katanya.
Sehingga kini, AHB telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 82,000 pelabur individu bumiputera dan 19 institusi pelaburan bumiputera.
Sejak pelancarannya pada 2010, sebanyak RM2.32 billion pendapatan telah diagihkan kepada pelabur AHB. – UTUSAN