Phee Jinq En akhiri karier individu Sukan SEA dengan perak

Phee Jinq En akhiri karier individu Sukan SEA dengan perak

sukan@hmetro.com.my

Bangkok: Saingan individu terakhir Phee Jinq En di Sukan SEA berakhir dengan gelak tawa, kejujuran dan pingat perak yang bakal dikenang selepas dia bersara.

Atlet berusia 28 tahun itu menamatkan perlumbaan wanita 100meter (m) kuak dada di Sukan SEA ke-33 hari ini dengan catatan masa 1minit (m):10.09 saat (s), di belakang wakil Singapura, Letitia Sim (1:06.79s – rekod temasya), manakala pingat gangsa menjadi milik wakil Vietnam, Nguyen Thuy Hien (1:10.40s).

“Ini adalah perlumbaan pertama dan satu-satunya dalam karier 10 tahun saya mewakili Malaysia di mana saya tidak memikirkan sama ada saya berenang dengan baik atau tidak,”katanya.

Jinq En mengakui keyakinan diri tidak semestinya terjamin menjelang final, dengan kehadiran perenang muda dari Vietnam, Indonesia dan tuan rumah Thailand yang muncul sebagai pesaing hebat.

“Saya tahu mampu berenang lebih pantas, tetapi saya juga tahu emas agak sukar dicapai.

“Jadi saya katakan pada diri sendiri, saya hanya mahu berada di podium, tidak kira warna pingat,” katanya.

Pingat perak ini dianggap antara yang paling bermakna dalam kerjaya Sukan SEA Jinq En, walaupun beliau mengakui tiada yang boleh menandingi emasnya di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Pingat ini memang antara yang istimewa. 10 tahun dari sekarang, apabila saya teringat Sukan SEA Thailand 2025, saya tahu saya telah berikan segala-galanya di dalam kolam renang itu,” katanya.

Jinq En juga menjelaskan bahawa walaupun 100m kuak dada adalah perlumbaan individu terakhirnya, beliau masih akan bertanding dalam acara beregu pada Hari Keenam sebelum secara rasmi menutup tirai pembabitan dalam Sukan SEA.

Menariknya, malam itu berakhir dengan gurauan apabila beliau memberi ucapan khas kepada seorang rakan yang masih berhutang jamuan steamboat serta terima kasih kepada bapa rakannya, yang diharapkan menonton dari televisyen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top