Phelps hentam kepimpinan Renang AS

Phelps hentam kepimpinan Renang AS

Los Angeles: Legenda renang dunia, Michael Phelps, melancarkan kritikan pedas terhadap kepimpinan Renang Amerika Syarikat (AS) yang disifatkannya lemah dan memerlukan reformasi besar-besaran selepas menyaksikan kemerosotan berterusan sukan itu di AS.

Phelps, 40, pemenang 23 pingat emas Olimpik dengan koleksi keseluruhan 28 pingat berkata, keadaan semasa membuatkan beliau ragu-ragu untuk membenarkan empat anak lelakinya menceburi renang.

“Saya amat menghormati semua perenang yang mewakili AS di Kejohanan Dunia. Kritikan ini bukan kepada atlet, tetapi kepada sistem dan kepimpinan yang semakin gagal,” katanya dalam kenyataan di Instagram.

Menurutnya, sejak sembilan tahun lalu ‘retakan’ dalam sistem semakin membesar, dengan suara atlet sering dipandang remeh dan arahan untuk ‘diam demi menjaga keharmonian’ menjadi budaya.

Phelps membandingkan pencapaian 33 pingat di Sukan Olimpik Rio 2016 dengan kemerosotan kepada 28 pingat di Olimpik Paris 2024, jumlah terendah sejak Athens 2004.

Beliau mendedahkan pernah menghantar surat kepada Renang AS dan Jawatankuasa Olimpik & Paralimpik AS, disokong bekas pemenang pingat Olimpik, pemegang rekod dunia, jurulatih dan staf, namun ‘jatuh ke telinga yang pekak’.

“Ini bukan salah atlet, mereka sudah buat yang terbaik. Masalahnya ialah kepimpinan. Kepimpinan lemah memberi kesan ke seluruh organisasi. Wang memang faktor, tapi kawalan operasi yang lemah dan kepimpinan yang rapuh adalah punca utama,” katanya.

Phelps mencadangkan beberapa langkah pembaharuan termasuk kajian bebas terhadap lembaga pengarah dan struktur organisasi, penambahbaikan khidmat kepada atlet, serta mengukuhkan program akar umbi untuk menarik lebih ramai ahli baharu.

Awal bulan ini, Phelps bersama rakan senegara, Ryan Lochte, turut meluahkan kekecewaan selepas prestasi hambar pasukan di Kejohanan Dunia Singapura.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top