Piala AFF 2024 mungkin berlangsung di Sarawak, Johor atau Terengganu

Piala AFF 2024 mungkin berlangsung di Sarawak, Johor atau Terengganu

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Stadium Negeri Sarawak kemungkinan menjadi destinasi kepada penganjuran saingan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2024, yang akan membuka tirai hujung bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, selain Stadium Negeri Sarawak turut berada dalam senarai adalah Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Beliau berkata, tiga venue berkenaan akan dipertimbangkan sekiranya Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak berada dalam keadaan terbaik atau kurang memuaskan susulan penganjuran tiga konsert mega di gelanggang itu kelak.

“Kita akan memutuskan sama ada SNBJ menjadi gelanggang rasmi untuk Piala AFF 2024 selepas melakukan pemeriksaan sebelum saingan terbabit berlangsung.

“Pemilihan Stadium Negeri Sarawak adalah berdasarkan kepada sambutan menggalakkan yang ditunjukkan penyokong tempatan di negeri itu selain kemudahan lengkap di venue berkenaan.

“Oleh itu, kita akan terus memantau keadaan SNBJ dan mungkin akan bertukar venue jika padang terkopak atau kurang memuaskan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan SNBJ iaitu gelanggang keramat buat Harimau Malaya bakal bergegar dengan tiga konsert mega membabitkan puluhan ribu penonton, sekali gus menimbulkan persoalan keadaan padang yang kemungkinan akan rosak atau terkopak.

Jika situasi berkenaan berlaku dengan keadaan padang kurang memuaskan sudah pastinya skuad Harimau Malaya akan terkena tempias memandangkan akan menggunakan venue itu untuk perlawanan Piala AFF 2024 bermula hujung bulan depan.

Berdasarkan maklumat diterima, tiga konsert mega itu membabitkan konsert Jelajah Dunia Jay Chou yang akan bermula 26 Oktober dengan dua lagi konsert mega akan turut menyusul selepas itu.

Memandangkan tiga konsert itu dijangka dihadiri puluhan ribu peminat, sudah tentu permukaan padang SNBJ boleh rosak dan mengulangi ‘tragedi’ apabila padang terkopak yang pernah berlaku seperti sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil berkata, tiga konsert bertaraf mega itu akan berlangsung di SNBJ bermula hujung bulan ini.

Piala AFF 2024 yang memasuki edisi ke-15 itu dijadualkan berlangsung pada 23 November hingga 21 Disember depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top