
Skuad muda negara akan menentang Taiwan dalam aksi ketiga Kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia B-18 di China pada Ahad. Foto FB MHC
SKUAD muda negara meneruskan momentum positif dalam Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia (Lelaki) bawah 18 tahun (B-18) setelah membelasah Indonesia 10-0 di China pada Jumaat.
Dalam aksi Kumpulan B di Dazhou itu, skuad Young Tigers meledak enam gol menerusi pukulan sudut penalti (PC) termasuk hatrik Muhammad Safwan Salihe, dua gol oleh Iman Faris Faizo dan satu jaringan Muhammad Rafiq Mohamad Raze.
Empat jaringan melalui gol padang pula hasil ledakan Muhammad Saiful Syahfy Mohd Baddruddin, Muhammad Izz Ilhan Azrul Ridzuan, Muhamad Hisyamuddin Abdul Rani dan Aferullsyah Ahmad Azuan Syahril.
Dalam aksi pertama pada Khamis skuad bimbingan, Mohd Sufian Mohamad itu menumpaskan Kazakhstan 4-0.
Beliau menyifatkan kemenangan tersebut hasil kerja keras para pemain yang tidak berputus asa untuk memburu gol susulan langkah pasukan lawan yang lebih banyak bertahan.
“Syukur Alhamdulillah untuk tiga mata penuh hari ini (Jumaat). Sebelum perlawanan saya sudah mengingatkan pemain untuk fokus kepada penyudah dan kita dapat hasilkan gol menerusi gol padang dan pc.
“Malah memang kita jangka daripada awal Indonesia akan berkampung di kawasan sendiri. Perancangan dan stratgei yang diterapkan kepada pemain Alhamdulillah menjadi.
“Saya sebenarnya tidak jangka kita boleh ‘pergi’ kepada gol yang besar. Alhamdulillah pemain berjaya dan tenang untuk dapatkan gol yang banyak,” katanya.
Cabaran seterusnya buat skuad Young Tigers ialah menentang Taiwan pada Ahad.
“Esok (Sabtu), hari rehat tiada perlawanan. Namun akan tetap fokus untuk aksi ketiga lawan Taiwan. Kita akan bincang bersama pemain agar mereka tahu apa strategi seterusnya,” katanya.
Sebagai rekod, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menyasarkan skuad remaja itu yang pertama kali bersaing di pentas antarabangsa untuk melangkah ke saingan separuh akhir.