KUALA LUMPUR – Dua pemain muda yang berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine menjadi pertaruhan apabila berada dalam senarai awal skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2024 di Chonburi, Thailand, bulan depan.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan, Luqman Hakim dan Nooa yang memiliki pengalaman beraksi bersama skuad senior negara, antara 25 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Muda bimbingan E. Elavarasan, bermula esok.
“Dalam senarai pemain yang dipanggil, Elavarasan mengekalkan 14 pemain yang beraksi pada Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2023 baru-baru ini, antaranya penjaring terbanyak kejohanan Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar, M. Rakesh dan Mohamad Saiful Jamaluddin.
“Melengkapkan skuad, Elavarasan turut menyenaraikan sembilan pemain skuad Sukan SEA 2023 yang tidak beraksi pada Kejohanan B-23 AFF antaranya Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Harith Haiqal Adam Afkar, Muhammad Azam Azmi Murad, T. Saravanan dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
“Sembilan pemain tersebut kebanyakannya merupakan pemain utama kelab masing-masing dalam saingan Liga Super,” kata FAM dalam satu kenyataan.
Sementara itu, 15 pemain diletakkan dalam Senarai Bersedia sekiranya terdapat sebarang perubahan.
Hanya 23 pemain akan menggalas cabaran skuad B-23 kebangsaan yang dijadual berlepas ke Thailand pada 4 September ini untuk menghadapi kejohanan yang berlangsung dari 6 hingga 12 September depan.
Pada kempen kelayakan itu, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan H akan memulakan saingan menentang Bangladesh pada 6 September ini, diikuti aksi bertemu Filipina (9 September) sebelum berdepan pasukan tuan rumah pada aksi terakhir yang dijadual pada 12 September depan.
Kesemua juara kumpulan bersama empat naib juara kumpulan terbaik akan layak ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar yang turut menawarkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024. – MalaysiaGazette
