Piala Asia: Malaysian Tigress mula langkah kiri di China

Piala Asia: Malaysian Tigress mula langkah kiri di China
Piala Asia: Malaysian Tigress mula langkah kiri di China

Malaysian Tigress membuka tirai Piala Asia 2025 dengan langkah sumbang apabila dibelasah tuan rumah China 8-0 dalam aksi Kumpulan A di Gongshu pada Jumaat.

SKUAD hoki wanita negara membuka tirai Piala Asia 2025 dengan langkah sumbang apabila dibelasah tuan rumah China 8-0 dalam aksi Kumpulan A di Gongshu pada Jumaat.

Skuad Malaysian Tigress kendalian Mohd Nasihin Nubli Ibrahim gagal mengekang asakan bertali arus lawan apabila gawang dibolosi seawal minit pertama menerusi jaringan padang Zou Meirong.

Li Hong kemudian menambah gol kedua pada minit ke-13 sebelum Ou Zixia menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-17 untuk meletakkan China selesa mendahului 3-0.

China terus menekan dan menggandakan kedudukan menerusi jaringan Dan Wen pada minit ke-32 diikuti pukulan sudut penalti Fan Yunxia, dua minit kemudian.

Zou Meirong menambah gol peribadi keduanya pada minit ke-36 untuk menjadikan kedudukan 6-0.

Sentuhan Chen Yang (m-40’) dan Zhong Jiaqi (m-49’) kemudian melengkapkan pesta jaringan buat tuan rumah yang beraksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri.

Sementara itu, Nasihin Nubli mengakui telah menjangkakan cabaran getir menentang China yang merupakan pemenang pingat Perak Sukan Olimpik.

“Kita sudah jangka China akan turun dengan misi memburu jaringan besar.

“Gol awal yang dilepaskan menyebabkan corak permainan kita menjadi tidak teratur,” katanya.

Malaysia selepas ini akan berdepan Taiwan pada 7 September, sebelum menutup aksi peringkat kumpulan dengan pertemuan menentang Korea Selatan sehari kemudian dengan dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir.

Kejohanan yang berlangsung hingga 14 September ini turut menawarkan satu slot automatik ke Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda.

Scroll to Top