Piala Cabaran: Tandukan Coutinho bawa Penang FC ke separuh akhir

Piala Cabaran: Tandukan Coutinho bawa Penang FC ke separuh akhir

GEORGE TOWN : Jaringan tunggal oleh pemain import dari Brazil, Douglas Coutinho pada minit ke-81 sudah cukup untuk membawa Penang FC mara ke peringkat separuh akhir Piala Cabaran selepas menewaskan Kelantan Red Warrior FC (KRW) 1-0 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Gol berpunca daripada satu sepakan sudut apabila Coutinho yang masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan itu melonjak tinggi untuk menanduk bola yang melantun dan terkena tiang sebelum menerjah ke dalam jaring pelawat.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi suku akhir pertama yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan minggu lepas.

Sementara itu, dalam aksi timbal balik kedua ini, KRW FC bagaimanapun terlebih dahulu menguji gawang Penang FC menerusi Philip Dandada Musa pada minit ke-13.

Pemain kelahiran Nigeria berusia 22 tahun itu berjaya menggelecek beberapa pemain tuan rumah sebelum melepaskan rembatan yang bagaimanapun berjaya ditepis oleh penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Empat minit berselang, giliran Penang FC pula mencemaskan pelawat apabila tandukan pemain tengah mereka, Nur Syamie Iszuan Amin sekadar singgah di tiang gol selepas menerima umpanan cantik daripada Muhammad Firdaus Saiyadi.

Tersentak dengan percubaan itu, anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim kembali memperkemaskan jentera serangan mereka, namun, sentuhan penyudah yang lemah menggagalkan hasrat mereka untuk memecah kebuntuan jaringan.

Masuk babak kedua, pelawat dilihat semakin agresif mengasak ke kubu tuan rumah dalam usaha untuk memburu gol, namun, Mohamad Ramdhan berjaya menyelamatkan gawang Penang FC beberapa kali daripada dibocori.

Keputusan 1-0 seterusnya kekal sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil, Muhammad Shukor Zulkiflee sekali gus menyaksikan anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail berjaya mengulangi pencapaian musim lalu apabila mara ke separuh akhir kejohanan yang sama sebelum disingkirkan oleh Selangor FC.-UTUSAN

Scroll to Top