mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia secara rasmi diundi dalam Kumpulan B bagi saingan kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025, sekali gus bakal menentang tiga pasukan kuat dari Asia Tengah iaitu Tajikistan, Iran dan Afghanistan.
Undian itu membuka satu lagi lembaran penting buat Harimau Malaya untuk kembali mencabar di pentas antarabangsa, selepas aksi memberangsangkan dalam kelayakan Piala Asia menentang Vietnam sebelum ini.
Dengan persiapan rapi, keyakinan yang tidak pernah luntur dan semangat juang demi lencana di dada, skuad negara kendalian Peter Cklamovski bersedia menyahut apa jua cabaran yang menanti di Uzbekistan nanti.
Iran dijangka menjadi halangan terbesar berdasarkan ranking dunia dan pengalaman luas mereka dalam Piala Dunia, manakala Tajikistan pula adalah juara bertahan edisi lalu.
Afghanistan walaupun dilihat sebagai pencabar kurang menonjol tetap tidak boleh dipandang rendah terutama dari segi corak permainan fizikal dan semangat melawan mereka.
Bagi Malaysia, kejohanan ini hadir pada waktu yang tepat sebagai medan terbaik untuk menguji formasi, keserasian dan mentaliti pemain sebelum menyambung kempen kelayakan Piala Asia 2027.
Malah, ini juga peluang buat barisan pemain muda dan baharu untuk membuktikan kemampuan dan memikat kepercayaan jurulatih bagi membentuk skuad lebih mantap pada masa depan.
Kejohanan yang dijadual Ogos dan September ini menyaksikan Uzbekistan menjadi tuan rumah buat kali kedua selepas penganjuran sulung tahun lalu.
Penyertaan Malaysia dalam kejohanan ini juga selaras dengan visi FAM untuk memperluaskan jaringan perlawanan kompetitif di luar zon ASEAN dan meningkatkan tahap kompetitif pasukan kebangsaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd